Sunday, May 8, 2011

Kenanglah Jasa Seorang Ibu

Ada seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?

Baginda menjawab: Ibumu.


Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa?


Nabi menjawab: Ibumu.


Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa?


Nabi menjawab lagi: Ibumu.


Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?


Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.

(Hadis riwayat At-Tirmizi)

Islam sangat menyanjungi jasa seorang ibu. Kata-kata “kasih ibu membawa ke syurga” yang sering digunakan bagi menggambarkan kasih sayang seorang ibu, kesinambungan daripada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” (Riwayat Imam Ahmad)


Islam juga meletakkan taraf seorang ibu pada kedudukan yang terpuji dan tertinggi bertepatan dengan peranannya sebagai daya kuasa pembina generasi pelapis ke arah generasi gemilang, cemerlang dan terbilang. Ibu di sisi Islam mempunyai kedudukan yang istimewa sehingga meletakkan hukum bagi mereka yang menderhaka ibu-bapa di antara dosa-dosa besar setanding dengan syirik kepada Allah, membunuh diri dan penyaksian palsu.


Rasulullah s.a.w, ketika ditanya mengenai amalan yang dicintai oleh Allah, maka baginda bersabda di antaranya ialah berbakti kepada ibu bapa, selain solat pada waktunya dan berjihad di jalan Allah. Pernah baginda menyuruh salah seorang sahabat baginda agar tidak menyertai perang jihad disebabkan beliau masih mempunyai ibu bapa kerana berbakti kepada kedua-duanya adalah juga dikira sebagai jihad.


Sememangnya tidak dapat dinafikan, walau jerih payahnya tanggungjawab, seorang ibu akan tetap tabah menghadapinya demi insan-insan tercinta. Walaupun  senonim dengan kata-kata “wanita itu kaum yang lemah.” Namun, selemah-lemah wanita, seorang lelaki yang gagah perkasa sekalipun tetap dilahirkan daripada rahim seorang wanita.


Seorang ibu juga sanggup mengorbankan apa sahaja demi anak-anak tercinta. Kisah Alqamah misalannya, menggambarkan betapa kasih ibu sangat mendalam sehinggakan ibunya tidak sanggup melihat anaknya menderita akan dibakar hidup-hidup walaupun telah berkecil hati kerana anaknya itu melebih-lebihkan isterinya daripada ibunya sendiri. Kerana tidak mahu melihat anaknya menderita ketika sakaratul maut, si ibu dengan rela hati memaafkan anaknya itu.


Pengorbanan seorang ibu sukar dibalas. Malah seorang wanita bergelar ibu tidak pernah meminta jasanya dibalas. Jika difikirkan sejenak, seorang ibu akan hanya dirai ketika hari lahirnya atau pada Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei setiap tahun.Alhamdullah kami bangga diberikan penghurmatan sebagai IBU. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...